Bismillah..
"Tiap-tiap akan merasai mati" (Surah al-Imran; 185)
Teringat saya akan kisah seorang remaja bernama Ahmad Ammar yang telah pergi ke rahmatullah awal Muharram tahun ini. Masya-Allah pemergiannya bagaikan suatu sejarah yang takkan kita lupakan. Ahmad Ammar, nama yang cukup indah sekali. Siapa beliau ini? Semua orang tertanya-tanya akan beliau. Beliau adalah pemuda Malaysia yang syahid di Turki di saat usia yang begitu muda. Pemuda yang sebelumnya tidak langsung diketahui umum, tetapi bila saat kematiannya, namanya harum di serata dunia. Mungkin ramai yang sudah ketahui akan kisah hidupnya, dan sifat peribadinya, tetapi apa yang saya ingin kongsi di entri ini adalah berkaitan "Janji Allah".
Di atas ini adalah video Kisah Perjuangan Ahmad Ammar sehinggalah saat-saat pengebumian beliau. Anda boleh saksikan sendiri.
Siapa Ahmad Ammar ini?
Pabila kita lihat saat-saat pemergian Allahyarham, kita boleh lihat sendiri apakah kebaikan yang pernah beliau taburkan di atas muka bumi ini selama hidupnya? Mujahid Malaysia yang memperjuangkan hak Allah di bumi Anbiya, Turki. Masya-Allah, indahnya mendapat kematian berupa demikian. Kenangkan kisah beliau, saya mula tersedar. Siapakah kita di sisi Allah? Adakah kita cukup bekalan bertemu Allah? Adakah kita ini adalah hambaNya yang benar-benar menunaikan hakNya? Bagaimanalah saat kematian kita nanti? Adakah kita benar-benar bersedia bertemu Allah?
"Ya Allah, jika dihitung amalanku. Apakah ia boleh menghapuskan dosa-dosaku?"
Kematian, janji Allah itu pasti. Sesiapa pun kita yang hidup di dunia ini, tak kira ustaz, doktor, pelajar, pasti merasai mati. Kematian tidak mengira usia; tua atau muda. Tidak terlambat, dan tidak tercepat. Tetapi persolannya, bersediakah kita?
Bila dilihat akhir zaman ini, na'uzubillah..maksiat merata-rata. Kehidupan kita banyak dihabiskan dengan hiburan dan keduaniaan semata-mata, sehinggakan kita sendiri terlupa untuk menjaga amanah Allah. Lihat sahaja dengan ibadah wajib, adakah kita cukup solat lima waktu? Jika cukup 5 waktu sehari, adakah kita solat di awal waktu? (peringatan untuk diri sendiri). Kadang-kadang kita ni, manusia, tak lepas daripada terleka dengan godaan dunia dan nafsu, terlalu mengejar keduaniaan. Ya, benar dunia adalah tempat untuk kita bekerja sekeras-kerasnya sebelum berehat sepuas-puasnya di alam barzakh nanti. Tetapi ramai manusia telah melebihkan dunia, daripada akhirat. Adakah pemikiran saya sama dengan anda?
"Kejap-kejap, lagi sikit je ni. Siap kerja ni, aku solat"
Sebenarnya, tak semua pekerjaan itu tak baik. Ada yang baik, tetapi bila salah cara dan tindakan, buruklah ia..seperti melambatkan solat sewaktu dalam melaksanakan tugas. Jika Allah nak tarik nyawa kita pada masa kita sibuk leka mengerjakan urusan dunia, pada masa itu, nak solat pun sudah tiada masa. Maka, rugilah kita. Nau'zubillah..
Yang pasti, kematian ini adalah sesuatu yang misteri, yang kita tidak tahu bila dan di mana ia akan berlaku ke atas diri kita. Jika kita tahu akannya, pasti kita akan bersegera membuat kebaikan dan meningglkan kemungkaran, kita akan sentiasa solat berjemaah di masjid, dan sudah pasti kita banyak menginfakkan harta di jalan Allah. Tetapi, Allah tidak akan beri begitu sahaja kepada hamba-hambaNya. Allah ingin duga kita dengan menyembunyikan kematian hamba-hambaNya supaya kita sendiri berusaha mencari redha Allah dan sentiasa bersedia menunaikan hak-hak Allah. Wallahu 'alam..
Jadi, cuba kita muhasabah diri balik setiap hari, apakah kebaikan dan keburukan yang kita lakukan hari ini, dan berusaha berubah sedikit demi sedikit. Jom kita audit diri, sentiasa mengingati Allah dengan zikrullah, berdoa, mengagungkan kalam Allah dan sunnah Nabi S.A.W., menghidupkan malam dengan solat sunnat, dan bersiap-sedia menghadapi hari kematian, yang pasti. Insya-Allah...
Semoga kita mati dalam keadaan husnul khatimah. Insya-Allah..
"Ihfazillah Yahfazuka.."
No comments:
Post a Comment